Siapa yang pernah tengok filem ‘A Street Cat Named Bob’ mesti kenal kucing ni kan? Hari ini admin nak berkongsi kisah tentang seekor kucing jalanan yang bernama Bob.
Bob asalnya adalah seekor kucing gelandangan sebelum bertemu dengan pemiliknya, James Bowen yang berasal dari Surrey, United Kingdom pada tahun 2007. Bowen pada ketika itu sedang bertarung dengan masalah ketagihan dadah memutuskan untuk merawat dan memelihara Bob, yang dijumpainya dalam keadaan yang terbiar dan cedera.
Bermula dari situ, hubungan mereka bertambah erat dan Bob sering menemani Bowen yang juga seorang pemuzik jalanan sambil menjual surat khabar ‘The Big Issue’ di sekitar kawasan Covent Garden di kota London. Dalam pada masa yang sama, Bowen mula mengarang sebuah buku yang bertajuk ‘A Street Cat Named Bob’ yang mengisahkan tentang perjalanan kehidupan sehariannya bersama sahabat karibnya, Bob.
Buku tersebut diterbitkan pada 2013 dan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan! Sejak penerbitannya, lebih sejuta naskhah laris terjual di UK sahaja dan turut diterjemahkan kepada 30 bahasa. Ia juga kekal menjuarai carta senarai teratas buku terlaris di akhbar ‘The Sunday Times’ selama 76 minggu berturut-turut. Pada tahun 2016, naskah tersebut telah diadaptasi dalam bentuk filem dan sekali lagi menjadi hit di seluruh dunia. Ini kerana, Bob juga turut membuat penampilan dalam filem tersebut.
Namun begitu, Bob akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada 15 Jun 2020 pada usia 14 tahun dan berita tersebut diratapi oleh peminatnya di seluruh dunia. Menurut Bowen, walaupun Bob hanyalah seekor kucing jalanan tetapi ia mengajarnya lebih daripada erti persahabatan. Bob membantunya menemui arah dan tujuan hidupnya yang hilang pada satu ketika dahulu. Segala memori susah dan senang mereka bersama akan sentiasa kekal dalam ingatan Bowen.
Selamat tinggal Bob, kami semua sayangkan awak!
Instagram Bob: https://www.instagram.com/streetcatnamedbob/?hl=en